@ Hamleys Di Malaysia!!

Monday, November 11, 2013

 
 
Last week Ibu pergi ke sidang media Hamleys. Kepada yang tak kenal Hamleys ni, meh Ibu cerita sikit. Hamleys ni merupakan kedai mainan terkemuka di dunia. Hamleys merupakan jenama global dan mempunyai 30 buah kedai di 12 buah negara dan wilayah termasuk India, Russia, Emiriyah Arab Bersatu dan Scandinavia. Sekarang giliran kita pula di Malaysia!! Kedai Hamleys pertama di rantau kita. 
 
Ibu berpeluang menemubual Ms. Noor Azlin (Director of GRV Toy Store) dan Mr Kim Manaf (Director of GRV Toy Store). GRV Toy Store adalah sebahagian daripada Kumpulan GRV. Ia adalah pemegang francais Hamleys di Malaysia dan Singapura. Syarikat tersebut sedang merancang untuk membuka kedai Hamleys di lapangan terbang. GRV Toy Store (GRV) telah membuktikan kepakaran mereka di dalam pasaran Malaysia dan berpengalaman dalam mengendalikan beberapa francais yang besar termasuk BHS, Blue Inc, Collezione, Accessorize, Jane Norman, Peacocks, Sinquanone dan Tape A L'oeil di Malaysia.
 
Ibu dengan Hamleys Bear

Ms. Noor Azlin dan Mr Kim Manaf

Menurut mereka, Hamleys merupakan sebuah kedai mainan yang lain daripada yang lain. Hamleys menawarkan satu pengalaman yang istimewa bukan sahaja kepada anak anda dan juga kepada anda sendiri. Sejarah menarik Hamleys bermula dengan William Hamley, yang berbangsa Cornishman dari Bodmin, England. Pada tahun 1760, kedai Hamleys yang pertama telah dibuka di Holborn, London dan pada tahun 1881, ia berpindah ke Regent Street. Kini, gedung utama Hamleys di London mempunyai lebih daripada 40,000 jenis mainan di kesemua tujuh tingkat gedungnya!
 

Sebagai sebuah jenama yang dipercayai di seluruh dunia, Hamleys memupuk kesetiaan pelanggan dan pertumbuhan jenama melalui pendekatan yang unik dalam strateginya yang merangkumi hiburan, demonstrasi mainan, reka bentuk kedai yang berwarna-warni dan menarik digabungkan dengan mainan hebat jenama Hamleys itu sendiri. Berjuta-juta keluarga yang masuk melalui pintu Hamleys disambut oleh patung beruang Hamley dan Hattie, dapat menonton persembahan boneka atau mengambil bahagian di dalam silap mata. Inilah cara Hamleys yang ingin memastikan pelanggan-pelanggannya mengalami sendiri hiburan yang unik.
 
 
Hamley dan Hattie

 
Di samping memberi pengalaman dalam kedai yang unik dan menyeronokkan kepada pelanggan, populariti kedai mainan Hamleys juga disumbang oleh komitmen mereka terhadap keselamatan mainan. Semua mainannya berfungsi dan diuji di makmal untuk memastikan yang mainan Hamleys mematuhi Arahan Keselamatan Mainan. Tanpa mengira lokasi, kesemua mainan Hamleys yang dijual di luar Eropah perlu mematuhi keperluan antarabangsa yang sama.
 
 
Pembekal mainan Hamleys mesti bersetuju dan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Majlis Antarabangsa Industri Mainan (ICTI). Ini adalah langkah yang diambil oleh Hamleys dalam memenuhi komitmen mereka terhadap mempromosi piawaian keselamatan mainan dan memenuhi tanggungjawab sosial seperti kepekaan terhadap alam sekitar, undang-undang pekerjaan yang saksama dan keselamatan di tempat kerja.

Sebagai ahli Persatuan Hobi dan Mainan British (BTHA), Hamleys memastikan yang pembungkusan dan pelabelan adalah mengikut fakta, tepat dan mematuhi semua undang-undang yang berkaitan. BTHA ditubuhkan pada tahun 1944 sebagai mewakili kepentingan pengeluar mainan British dan untuk meningkatkan lagi amalan piawaian dalam industri. Selaras dengan itu, Hamleys mengutamakan perlindungan terhadap permainan mereka semasa dalam perjalanan sentiasa terjaga bagi memastikan ia kekal baik apabila tiba di destinasinya. Jika keadaan membenarkan, Hamleys akan menggunakan bahan-bahan kitar semula untuk pembungkusan bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Hamleys melakukan pertimbangan yang halus dalam pemilihan pembekal mereka. Semua pembekal perlu mengekalkan Sistem Pengurusan Kualiti yang sesuai (ISO9001 atau seumpamanya) agar berupaya membekalkan produk-produk, secara konsisten, yang mematuhi semua undang-undang yang berkaitan, arahan, piawaian dan dasar-dasar bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Permainan Hamleys yang diperbuat daripada kayu adalah dari jenis kayu yang diluluskan oleh FSC (Majlis Pemeliharaan Hutan) pada waktu dan di tempat yang mungkin. Kedai Hamleys di luar UK dan Ireland, dikendalikan oleh rakan-rakan francais dengan dibantu oleh pusat Hamleys UK. Bantuan yang diberikan termasuk pembangunan kedai, latihan untuk kakitangan dan pemilihan produk bagi memastikan pengalaman Hamleys dirasai penduduk tempatan, keseronokan yang dijamin, permainan berkualiti dan memori indah untuk dikenang.

Rekabentuk Hamleys yang menarik dan mempunyai kelainan tersendiri
 




GRV Toy Store (GRV), rakan kongsi Hamleys di Malaysia, mensasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima kedai mainan Hamleys dalam masa lima tahun akan datang. "Kami teruja kerana akhirnya Hamleys akan dibuka di Malaysia dan kami yakin jenama tersebut akan terus berkembang. Kami amat gembira dengan minat yang ditunjukkan oleh pusat membeli-belah terhadap Hamleys dan akan terus bekerjasama dengan pemilik pusat membeli belah untuk memastikan yang kita dapat membawa pengalaman Hamleys kepada rakyat Malaysia di seluruh Negara," kata Pengarah GRV Toy Store (GRV), Cik Noor Azlin. Pengarah GRV Toy Store, Encik Kim Manaf pula menambah, "Setiap hari adalah hari yang ajaib di Hamleys dan kami mahu pelanggan sentiasa teruja dengan pelbagai aktiviti, pertandingan, watak dan lawatan dunia hiburan. Jika pelanggan kerap melawati kedai Hamleys, anda pasti tidak akan terlepas apa-apa acara yang diadakan!"

Hamleys menawarkan banyak demonstrasi untuk anak anda dan juga anda sekali :) Rasai pengalamannya.
 





Ha bestkan? Bayangkan anak anda berpeluang mencuba pelbagai mainan menrik di situ. Jadi jangan lupa pergi ke pembukaannya pada 30 November 2013. 500 pelanggan pertama akan menerima permainan kad Angry Bird bernilai RM20.90. Pada hari pembukaan, karektor Ben 10 Bloxx akan menemui pelanggan-pelanggan dan persampelan popcorn percuma. Kita akan mengadakan banyak tawaran sempena pembukaan kedai, antaranya: Untuk setiap pembelian Transformer Beast Hunter Deluxe (RM59.90) pelanggan akan menerima Best Hunter Legion (RM24.90) secara percuma dan untuk setiap pembelian Playskool Step Start Walk & Ride (RM149.90) akan menerima Spiderman Vehicle (RM59.90) secara percuma.

Kedai utama Hamleys terletak di Lot F319, Tingkat 1, 1Utama Shopping Mall, No 1, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Masa perniagaan adalah dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
 
 
Ops Ibu dah dapat ni :) Anda macam mana?

0 kawan BabyIbu berkata-kata..:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Widget By Devils Workshop